Friday, November 6, 2009

Mimpi Yusuf

“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. “ [Surah Yusuf: 4-5]


Demikianlah Nabi Allah Yusuf a.s diberikan anugerah oleh Allah SWT menjadi pemimpin yang hebat. Namun di sebalik kejayaan baginda, pelbagai episod ujian kehidupan telah dilalui oleh baginda. Di awal kisah Nabi Yusuf, Allah SWT menceritakan tentang mimpi wahyu yang diturunkan kepada baginda bahawa baginda telah melihat sebelas bintang , matahari dan bulan telah tunduk kepadanya.


Tafsir Ibn Kathir menceritakan tentang ayat ini bahawa sebelas bintang yang dilihat oleh Yusuf adalah diibaratkan sebagai saudara-saudara lelaki baginda, kerana Yusuf mempunyai sebelas orang adik beradik. Matahari dan bulan yang itu pula diibaratkan oleh ulama tafsir sebagaiayahanda dan bondanya. Demikanlah jika dilihat berdasarkan ayat di atas bahawa mimpi Yusuf menjelaskan bahawa ahli keluarga Yusuf akan menghormati Yusuf pada suatu masa. Ulama-ulama seperti Ibn Abbas, Ad-Dhohhak, Qatadah dan Sufian As-Sauri menjelaskan bahawa mimpi Yusuf ini menjadi kenyataan selepas 40 tahun daripada apa yang dilihat Yusuf di dalam mimpinya.


Mimpi inilah merupakan titik tolak bermulanya perubahan dalam kehidupan baginda Yusuf a.s. Ayahanda baginda, Nabi Yaakub a.s telah mengetahui rahsia mimpi yang diceritakan oleh Nabi Yusuf bahawa dia telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi rasul. Namun Nabi Yaakub mula merasa bimbang kerana saudara-saudara Yusuf yang iri hati terhadap Yusuf pasti akan melakukan sesuatu rancangan jahat terhadap Yusuf. Lantaran itulah Nabi Yaakub mengingatkan Yusuf a.s supaya tidak menceritakan perihal mimpinya kepada saudara-saudaranya yang lain.


Bermula dari mimpi inilah, Nabi Allah Yusuf diuji dengan pelbagai ujian yang amat getir sehingga Nabi Allah Yaakub merasakan bahawa dia tidak mampu menghadapi sekiranya berlaku sesuatu yang buruk terhadap Yusuf.

Post a Comment

Blog Archive

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP